Friday, June 27, 2008

EURO: Turki pulang sebagai Wira!!

Turki mungkin kalah kepada Jerman pada separuh akhir Euro 2008, namun pasukan itu berjaya memenangi hati ramai peminat bola sepak di seluruh dunia, yang teruja dengan keazaman, skil dan kehebatan pemain mereka.

Jurulatih, Fatih Terim, yang menyuarakan hasrat untuk berhenti selepas kekalahan 3-2 kepada Jerman semalam, wajar diberi pujian kerana mengendalikan pasukannya dengan hebat.

Siri kecederaan dan pengantungan tonggak penting seperti penjaga gol nombor satu, Volkan Demirel, ketua pasukan yang juga penyerang utama, Nihat Kahveci serta pemain tengah, Emre Belozoglu bukan alasan buat Turki mengalah mudah.

Selain Volkan, Nihat dan Emre, ada tiga lagi tonggak Turki tiada dalam kesebelasan utama kerana kecederaan dan penggantungan, namun pasukan itu masih mampu memaksa Jerman berhempas pulas sebelum jaringan Philipp Lahm, seminit sebelum tamat permainan meranapkan mereka.

"Kami akan pulang sebagai sebuah pasukan yang paling menyinar di sini. Kami hampir ke situ (final) tetapi inilah bola sepak. Kami menghormati lawan kami, namun saya tetap berbangga... amat bangga dengan pasukan kami,'' kata Terim.
Pemain tengah kreatif, Hamit Altintop yang beraksi bersama kelab Jerman, Bayern Munich cukup dikenali oleh kebanyakan pemain Jerman tetapi mereka tetap sukar untuk menyekatnya, yang mengawal permainan dengan hantaran yang teratur.

Penyerang Turki, Kazim Kazim, yang melepaskan dua rembatan terkena tiang mempamer peningkatan besar dengan aksi matang, manakala Ugur Boral, yang menjaringkan gol pertama mereka menggerakkan sayap kiri pasukan.
Kejayaan Turki menjaringkan gol pembukaan perlawanan membuktikan kesungguhan pasukan itu untuk melakar sejarah melayakkan diri ke final Kejohanan Eropah buat kali pertama.
Mereka berkerja keras sehingga ke akhir perlawanan untuk menghiburkan peminat fanatik, walaupun akhirnya kecundang di tangan juara tiga kali, Jerman, pemain Turki tetap dijulang sebagai wira nasional sama seperti ketika mereka layak ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Tidak banyak pasukan yang masih mampu menjaringkan gol pada saat akhir, ketika sudah diambang kekalahan seperti yang telah dilakukan Turki di sini.

Jaringan lewat minit Arda Turan membolehkan pasukan itu mengalahkan Switzerland 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam saingan suku akhir pula, Turki sudah menuju penyingkiran selepas ketinggalan 0-1 kepada Croatia ketika saingan masa tambahan tinggal beberapa satu untuk ditamatkan.

Namun, jaringan Semih Senturk pada minit ke-122 merubah kedudukan untuk mengheret permainan ke penentuan penalti, sebelum Turki menang 3-1.

No comments: