Thursday, February 5, 2009

Raja Katak: Lompat Si Katak Lompat –shamir

Foto: Penulis bersama rakan-rakan NGO, rakyat Palestin dan Warga Antarabangsa menyatakan Bantahan diatas kekejaman Israil
Foto oleh: Faurani

Syukur kehadrat Allah Swt dan puji-pujian keatas junjungan besar Muhammad saw.

1. Penulis ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada taulan-taulan yang bergandingan berdemonstrasi membantah kekejaman Israel di Masjid Tabung Haji, aktivis-aktivis yang bergandingan menyatakan sokongan kepada warga Palestin di Kedutaan Besar Palestin, 2000++ pelajar, NGO, badan politik, yang turut serta didalam mendoakan kesejahteraan, keampunan dan kekuatan kepada pejuang-pejuang Palestin di Masjid Wilayah minggu lepas. Penulis bersyukur..

2. Penulis sedikit tertarik dengan keriuhan politik diutara tanahair khususnya di Negeri Perak Darul Ridzuan. Maklumlah penulis juga masih mentah dalam sepak-terajang politik, maaf sekiranya ada kekhilafan didalam penulisan ini.

3. Kalau tidak salah penulis, cerekarama bersiri LomPat siKatak Lompat ini diterbitkan oleh Putera Katak,Y.B Dato Seri Anwar Ibrahim, kurang lebih 2 bulan yang lalu. Usulnya, ramai wakil-wakil Yang Berhormat dari Parti Kati akan melompat ke Parti Tanduk, Bulan dan Roket. Alkisah tarikh 16 september pun berlalu di angin lalu, yang terloncat-loncat cuma Putera Katak, Putri Katak dan anak-anak berudu.Penulis Berdiri..

4. Kini timbul pulak desas-desus wakil-wakil Yang Berhormat parti tanduk keluar PARTY. Apa kata Putera Katak? Penulis percaya, taulan semua tahu berfikir dengan rasional. Kalau yang melompat itu wakil Yang Berhormat parti Kati, maka makam-nya, terus dijulang ke langit ke-7. Perjuangannya menjadi Intifada Rakyat; pengorbanannya ibarat Syuhada.

5. Kepada Putera Katak, YB Dato Seri Anwar Ibrahim, pesan penulis, jangan melompat sangat. Keamanan dan kestabilan negara amat penting. Kelembapan ekonomi sejagat memungkinkan 45000 rakyat berdepan risiko dibuang kerja bila-bila masa. Syarikat-syarikat bumiputera gulung tikar, pelabur asing berhati-hati untuk melabur dalam negara. Ribuan lepasan IPTA menganggur. Purchasing Power rakyat makin merosot.

6. Penulis ingin mengesyorkan kepada Kerajaan agar mengabaikan Putera Katak. Banyak perkara bermafaat boleh difikirkan dan dilaksanakan secara kolektif oleh kerajaan dan rakyat. GLC’s boleh digerakkan menongkah arus membeli syarikat-syarikat asing yang berpotensi membangunkan sumber Modal Insan. Government Controlled Companies dibawah kementerian khususnya Perbendaharaan Negara (MOF) boleh digunakan untuk menongkat kilang-kilang sumber periuk nasi ribuan rakyat Malaysia.

Sekian, wassalam.

Friday, December 26, 2008

Ucapan Dasar Presiden GPMS di Persidangan Agung Tahunan

UCAPAN PERASMIAN

PRESIDEN
GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
DI PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN GPMS KE-54
INSTITUT AMINUDDIN BAKI
GENTING HIGHLANDS
PAHANG DARUL MAKMUR

20 DISEMBER 2008


‘WARISAN PERJUANGAN BANGSA;
MENERUS KESINAMBUNGAN, MENGISI HARAPAN’


AssalamualaikumWrt Wbt


1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, yang telah memberi izin, mengurniakan segala inayah, redha dan perkenan – untuk kita warga GPMS berkumpul di Institut Aminuddin Baki pada pagi ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para khulafa’ dan ahli keluarga Baginda.

2. Setinggi-tinggi terima kasih di atas kehadiran YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi – yang sudi hadir, sekaligus bakal merasmikan PAT ini sebentar lagi. Salam perjuangan buat semua aktivis GPMS veteran yang hadir, mantan kepimpinan GPMS di segenap peringkat, para sahabat di peringkat Majlis Tertinggi, para Pengerusi GPMS Negeri, Yang Dipertua GPMS Cawangan-cawangan – para perwakilan, para hadirin dan hadirat, wakil media yang dihormati.

Dari Temerloh ke Putrajaya;
Tampak kacak pemimpin muda;
Hadir YB dihargai semua;
Jadi azimat, pengukuh jiwa;

Pahlawan lama, negerinya Pahang;
Jadi sanjungan si orang dagang;
Pejuang GPMS – Selamat Datang;
Bagaikan sirih pulang ke gagang;

3. Secara peribadi, saya menganggap pertemuan ini punya makna dan signifikasi luar biasa. Pertamanya, kita sedang berada di garis sejarah perjuangan yang cukup panjang. 60 tahun – adalah angka yang seharusnya menyedarkan kita bahawa, kita mewarisi dan menjadi generasi penerus kesinambungan perjuangan yang sangat historikal dan terkait megah dengan semangat nasionalisme bangsa Melayu. Kita mesti senantiasa mengingatkan diri kita, darah merah likat yang mengalir dalam tubuh kita ini; fikrah mengangkat perjuangan bangsa melalui pendidikan yang utuh dalam minda kita ini; semangat berani dan bersungguh dalam hati kita ini – adalah sebahagian daripada cetus rasa, tekad mutlak – untuk mengangkat darjat perjuangan bangsa Melayu seluruhnya.

4. Keduanya, PAT ini berlangsung dalam latar belakang dan suasana politik yang kian berubah lanskapnya. Timbul suara sumbang mempertikai itu dan ini. Wujud suara nakal gagap dan bingung sejarah yang mula mempersoal fitrah keMelayuan bumi bertuah ini. Wujud usaha intelektual terancang untuk menidakkan institusi Kesultanan dan Raja Melayu. Semua ini menyebabkan hamparan kesabaran orang Melayu teruji lagi. Sikap dan nilai toleran kita ingin dihenyak menyembah bumi. Sebagai sebuah NGO Melayu – mahu tidak mahu, GPMS mesti tampil diri, bergerak di hadapan; memberi mesej jelas – bahawa ada perkara yang tidak perlu, tidak wajar dan tidak patut disentuh langsung dan dipertikaikan. Di perhimpunan ini, saya mengharapkan untuk mendapat mandat jelas daripada perwakilan tentang niat, sikap dan ruang pandang GPMS terhadap suasana yang agak getir ini.

5. Ketiganya, PAT kali ini dihadiri oleh kalangan kepimpinan dan veteran GPMS yang banyak menabur bakti selama ini. Semangat, citra perjuangan, kesungguhan dan kehidupan mereka ini digarisi oleh rasa sayang dan kasih mereka kepada GPMS. Saya mohon, seluruh anggota perwakilan untuk bangun dan memberikan tepukan paling gemuruh kepada para pejuang GPMS yang hadir pada pagi ini. Kehadiran YBhg Tan Sri/Datuk-Datuk/Tuan-Tuan sekalian bakal menjadi pencetus semangat buat kami semua ahli GPMS yang ada pada pagi ini.

YB Dato’ – Tan Sri, Datuk – Hadirin Dikasihi,

Tema PAT: Warisan Perjuangan Bangsa

6. GPMS melalui kembara dan denai perjuangan yang panjang. Perjuangan ini tidak lahir dalam keadaan yang semuanya ada dan tersedia. GPMS tidak lahir tika mana kita memegang tampuk kuasa. GPMS lahir dalam keadaan yang serba serbi kekurangan. GPMS lahir dalam keadaan fizikal bangsa yang terjajah. Tetapi, benarlah kata cerdik pandai – yang mungkin terjajah hanyalah batang tubuh; sedang minda dan hati orang Melayu – tetap merdeka dan terbenih ampuh di dalam diri.

7. Dalam melalui denai perjuangan – sudah barang tentu ianya tidak menjanjikan perjalanan yang selamanya membahagiakan. Kita melalui lopak yang tidak memudahkan. Ada onak dan duri kecil yang melukakan. Ada kerikil yang memberi calar. Ada dedaun tajam yang mengoyak kulit. Ada jerlus emosi yang melambatkan. Ada tika, air mata menjadi teman. Ada ketika, angin sepoi kecewa menyentuh tubuh dan pemikiran. Namun, atas nama Melayu dan perjuangan – kita tidak punya banyak pilihan. Perjalanan mesti diteruskan. Langkah mesti dihayun. Panji mesti ditegakkan. Obor perjuangan – mesti terus kita nyalakan. Untung nasib orang Melayu; akan terus kita perjuangkan. Suara GPMS kan kekal mempertahan hak keistimewaan orang Melayu.

8. Melihat wajah redup pemimpin dan pejuang GPMS lama; kita mesti pantas membugar rasa insaf dan meniup roh perjuangan luar biasa kepada kembara bermakna ini. Jangan biarkan waima sekalipun mereka berasa kecewa dan sangsi dengan tekad perjuangan kita. Jangan sesekali kita biarkan mereka berasa betapa perjuangan GPMS sudah tersisih dari matlamatnya. Semangat, niat, hasrat dan tekad GPMS asal – akan kita sama-sama kekalkan sampai bila-bila; dan diperteguh dengan pengisian yang sesuai dengan zaman dan ketika.

9. Hubungan baik, jalin hormat – antara generasi lama GPMS dan generasi penerus inilah menjadi asas kekuatan GPMS selama ini. Ibarat pisang sesikat, digulai sebelanga; ibarat aur bergantung ke tebing; ibarat inai dengan kuku; bagai beliung dengan asahan; bagai hempedu lekat di hati – kasih sayang kita kepada seluruh pejuang GPMS lama, akan kekal utuh selamanya.

10. Kita sengaja memberi tema WARISAN PERJUANGAN BANGSA untuk pertemuan kali ini – bagi memberi gambaran latar kesinambungan sebuah kembara yang panjang. Jauh daripada berasa complacent dan selesa; kita mahu mengembalikan memori dan sejarah perjuangan dalam bentuknya yang sangat jujur dan ikhlas. Kita sanggup melalui hari-hari yang panjang; dan malam yang melelahkan – atas niat jujur menelusuri asas perjuangan.

11. Natijahnya, bukan sahaja kita berjaya mengumpulkan data dan maklumat tentang veteran GPMS, yang pernah ditemukan di Malam Adiwangsa; kita juga berjaya, dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan – melahirkan buku Warisan Perjuangan Bangsa, di pagi yang berbahagia ini. Inilah bukti dan manifestasi; kesungguhan generasi baru GPMS untuk mengembalikan asas dan teras perjuangannya. Kita benar-benar mahu menghayati gerak rasa sejarah – the sense of history, kepada perjuangan kita ini.

12. Pada saya, secara peribadi – inilah warisan perjuangan yang perlu kita sama-sama hayati. Inilah ‘sejarah’ kita yang perlu dikongsi oleh seluruh pimpinan dan penggerak GPMS. Inilah ‘naskhah perjuangan’ – yang menjadi inti perjuangan kita sampai ke hari ini. Cerita ini bukan mainan kata. Cerita kita ini bukan sengaja direka-reka. Inilah pembuktian kepada kembara perjuangan GPMS yang rencam dan luar biasa.

Sekitar PAT Lalu: Realisasi Harapan & Saranan

YB Dato’ Sri, Tan Sri, Datuk dan Perwakilan Yang Di hormati,

13. Dalam Perhimpunan Agung Tahunan yang lalu, sebagai ucapan dasar selaku Presiden GPMS – saya ada mengutarakan beberapa perkara sebagai halatuju gerakan ini. Degup agenda perubahan yang diinginkan, sedang dan akan terus dilaksanakan. Saya pernah tegaskan, GPMS mesti merubah imej dan pembawaan – tanpa mengalih dan menginjak prinsip asas perjuangannya.

14. Dengan bantuan dan sokongan pihak tertentu, khususnya Kementerian Belia dan Sukan – kita mampu melaksanakan banyak program dan usaha pembaikan pengurusan. Ini sedang berlaku dengan nyata dan bersungguh. Kita mahu berasa selesa dengan kekuatan keahlian kita yang real dan aktif. Dengan adanya naskhah perjuangan kita; usaha perkaderan dan latihan akan mampu menjadi lebih tersusun.

15. Kita juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian berkaitan. Ucapan dasar tahun lalu ada menyentuh tentang pelaksanaan aliran vokasional secara yang lebih meluas dan menyeluruh. Kita mahukan kewujudan education safety-net untuk mereka yang kurang cemerlang dalam bidang akademik. Inilah gesaan ibubapa Melayu di desa dan pinggir kota. Sistem pendidikan kita mesti lebih accommodative kepada kecenderungan minat pelajar. Alhamdulillah, Kementerian Pelajaran Malaysia memberikan respons dan komitmen baik kepada cadangan ini. Tahun 2010, akan menjadi pemula rentak kepada agenda perluasan aliran vokasional semenjak daripada Tingkatan 1. Demikian juga dengan pengenalan subjek Sejarah dalam sistem pendidikan. Ianya juga sudahpun disambut baik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

16. GPMS punya peranan yang sangat penting dalam memastikan masa hadapan pendidikan anak Melayu tidak berhadapan dengan hambatan sistem dan dasar. Kita berani mengutarakan pandangan – sesuai dengan kedudukan kita sebagai NGO yang menjaga kepentingan pendidikan. Kita tidak punya sebarang sekatan dan kekangan.

17. Dalam kes biasiswa JPA misalnya – GPMS adalah antara yang paling vokal dan terkehadapan dalam isu perluasan kuota kepada bangsa lain. Saya secara peribadi dihujani sms yang mengatakan saya sebagai seorang rasis dan perkauman. Banyak blog yang mengungkap GPMS sebagai gagasan yang jumud dan sempit. Hakikatnya, kita hanya mahukan kuota Bumiputera diperluaskan, reflektif kepada peratusan penduduk dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).


18. Orang Melayu sudah menjadi kabilah fikir yang kian terpecah-pecah. Melayu sendiri yang kutuk Melayu. Melayu sendiri yang bercakap tentang kesamarataan dan meritokrasi total – saat padang permainan belumpun rata. Melayu sendiri yang menadah paha; saat betispun sudah tidak punya apa-apa lagi. GPMS khuatir, GPMS cukup khuatir – fikrah liberal dan moderat Melayu ini akan menyebabkan saf kita kian longgar dan mudah dihanyutkan gelombang yang baru.

19. GPMS hanya mahu menjadi sebuah gagasan yang SEDAR dan tidak khianat kepada perjuangan. GPMS hanya mahu menjadi benteng kecil, namun cukup utuh kepada usaha mempertahan hak bangsa. GPMS hanya mahu menjadi SUARA Melayu; saat suara itu kian sendu dengan tekanan dan jerit pekik bangsa lain yang gagap dan bingung sejarah; dan bangsa sendiri yang pengor dan tidak sedar diri.

20. GPMS perlu senantiasa sedar dan realistik dalam perjuangannya. Kita tidak mahu menjadi bangsa yang sesal dengan ketidakpedulian kepada bangsanya sendiri. Kita tidak mahu dipersalahkan kerana tidak memberi peringatan tentang banyak perkara asas yang kita gemar toleransikan. GPMS tidak mahu kita menjadi kalangan yang tenggelam dalam muafakat yang tidak ikhlas. GPMS tidak mahu menjadi suara Melayu yang gagal bersuara untuk kepentingan dan kelangsungan perjuangan bangsanya.

21. Dalam konteks pendidikan – kita bersuara; dan kita laksana. NGO yang amanah dan bertanggungjawab bukan setakat hebat bersuara; tetapi suram kerja dan usaha. GPMS, ambil pendekatan berbeza. Kita telahpun melaksanakan Program Jelajah Motivasi, Program Cakna Bistari (memberi tiusyen khas kepada sekolah berprestasi rendah – hampir di setiap Negeri), melaksanakan Jelajah Obor (sebagai manifestasi sambutan 60 tahun). Semua ini, dilaksanakan dengan biaya yang cukup besar. Keberhasilannya bukannya mampu diukur dalam sekelip mata.

22. Yang pasti, kita mesti kembali kepada asas – back to basics. Kita laksanakan program; kita kukuhkan saf. Hari ini, kehadiran kita di seluruh pelusuk Negeri, kejayaan kita menubuhkan Cawangan Khas – GPMS di hampir semua IPTA/S adalah lambang usaha perkaderan kita yang continuous dan bersungguh. Trend ini saya rasakan positif. Sangat reflekif kepada target group – kumpulan sasar kita sendiri. Walaubagaimanapun, usaha latihan dan suntikan semangat juga mesti diperkemas sama. Kita tidak mahu, waima seorang pun warga GPMS yang terkecuali daripada modul latihan dan pembangunan jatidiri perjuangan ini.

YB Dato’ Sri, Hadirin Dikasihi,

Merintis Jalan Perjuangan

23. Dalam merintis jalan perjuangan untuk tahun-tahun yang berikutnya – kita memerlukan kalangan anak Melayu yang insaf dengan perjuangan bangsanya. Saya pantas terhimbau dengan beberapa kerat puisi Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka):-

sakitnya bangsa bukan di luar,
tapi terjunam di dalam nyawa,
walau diubat walau ditawar,
semangat hancur apakan daya,

janjian Tuhan sudah tajalli,
mulialah umat yang teguh iman,
Allah tak pernah mungkiri janji,
tarikh riwayat jadi pedoman

malang dan mujur nasib bangsa,
turun dan naik silih berganti,
terhenyak lemah, naik perkasa,
tergantung atas usaha sendiri.

bangunlah kekasihku umat Melayu,
belahan asal, satu turunan,
bercampur darah dari dahulu,
persamaan nasib jadi kenangan.

24. GPMS ingin menggunakan platform ini untuk mengingatkan kaum tertentu supaya tidak terus-terusan bermain dengan perasaan dan sensitiviti orang Melayu. Jangan sentuh tentang Islam kerana ianya asas mutlak penghidupan dan kepercayaan kami. Belajarlah untuk menghormati agama rasmi Negara ini. Jangan sentuh Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu. Jangan heret ke bawah Duli Tuanku dalam polemik ketuanan Melayu. Jangan bawa sensitiviti Melayu dalam cubaan bersih diri daripada krisis moral peribadi. Belajarlah jadi anak Jantan – selesai pekung sendiri; sebelum menarik kepentingan bangsa dalam polemik moral peribadi yang hodoh dan menjijikkan!

25. Belajarlah menghormati dan menghargai sejarah. Insaf dan sedarlah bahawa bumi ini FITRAH agamanya ISLAM; FITRAH bangsanya MELAYU. Sejarah bumi bertuah ini bermula jauh dan lama sebelum merdeka. Islamnya jauh mencakupi Pasai, Grisik, Perlak dan Palembang. Islam sama mendarat di Melaka hasil usaha Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadhi Menua, Maulana Sadar Johan dan lain-lain.[1] Diperkukuh lagi oleh tradisi keilmuan Alam Melayu yang dibawa Hamzah Fansuri, Nuruddin al Raniri, Bukhari al-Jauhari, Abdul Rauf Singkel[2] – dan ramai lagi ulama’ sezaman.

26. Ketuanan Melayu – tidak boleh sama sekali diasingkan daripada perjalanan sejarah. Ini adalah hakikat dan tidak boleh ditempelak mentah-mentah. Ianya jauh didasari oleh budaya memimpin masyarakat Melayu yang sudah terbina lama. Tome Pires melalui tulisannya dalam Suma Oriental mengakui asas ini. Catitan Maharaja Yung-Lo (1402 – 1424), dari Dinasti Ming turut mengakui kehebatan Kesultanan Melayu Melaka. Suasana kepemimpinan Melayu diikuti Kerajaan Johor, Kerajaan Melayu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan[3]. Apakah dengan asas sekukuh ini kita masih perlu menjadi bangsa yang defensif dan kecil diri?

27. Sayangnya, ketuanan Melayu dijadikan pihak tertentu sebagai – alat politik. GPMS menggesa, mana-mana pihak perlu menerima Ketuanan Melayu sebagai elemen sejarah yang konkrit dan tidak boleh diganggu gugat. Bersyukur dan belajar mengucapkan terima kasih bahawa orang Melayu sangat-sangat toleran – dan tidak benar-benar melaksanakan cita-cita TUAN – walaupun punya hak dan paksi sejarah untuk berbuat demikian. Jangan menjolok sensitiviti kita lagi dengan apa jua alasan.

28. Hormatlah kepada agama Islam – Perkara 3 (10) Perlembagaan Negara. Jangan bermain dolak dalik dengan takrif setia kepada Raja – kerana lawannya adalah derhaka, Perkara 32 (1). Usah menghina Bahasa Melayu – seperti yang termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan. Jangan cuba menulis semula sejarah; yang hak tetap hak; yang benar tetap kan menjadi benar.

29. GPMS menganggap tindakan beberapa Kerajaan Negeri yang cuba mempelbagai bahasa di papan tanda sebagai tindakan tidak bertanggungjawab. Dalam bahasa yang halus, mereka ini sengaja mencari ruang bersikap perkauman dan racist. Apa yang mereka ingin buktikan? Apa yang mereka mahu sematkan di minda dan hati rakyat? Pada GPMS, niatnya adalah untuk menghina Bahasa Melayu atas alasan yang longgar dan rapuh. Sikap dan matlamat mereka yang kononnya terbuka, telus, rentas kaum – samalah seperti peribahasa Melayu: rupa boleh ubah, tabiat dibawa mati; ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya?, ibarat pahit peria – waima ditanam di atas sakar, dibaja dengan madu, disiram dengan manisan – apabila masak kan pahit juga.

30. Di daerah lain, pimpinan Melayu mabuk kuasa. Ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang kawan, diserakkan padi awak, dihimbaukan orang lain. Suara orang lain jadi utama, suara bangsa sendiri diketepikan. Dalam isu pembukaan UiTM misalnya – siapa yang mampu menyangka, dek terbuai arus kuasa – Melayu sendiri berlagak lupa. Pimpinan Melayu – jadi mudah ditelunjuk kanan dan kiri; bagai harimau tiada gigi; orang bermandi selam, awak bermandi timba – ibarat pacak mencerca biduk orang, biduk sendiri tidak terkayuh. GPMS sangat vokal dalam menentukan UiTM kan kekal jadi milik orang Melayu!

31. GPMS mengimpikan jalur politik Melayu yang saling terkait dan bijaksana. Sebagai NGO Melayu, kita terbuka untuk bersama – asalkan asasnya untuk Islam, niat-nya untuk Melayu. GPMS mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan penerimaan baik PAS sewaktu muktamar parti politik itu yang lalu. Prinsip tautan silaturrahim positif seperti ini akan kita teruskan. Samalah dengan tindakan kita bersama menentang kebiadapan Majlis Peguam tempohari. Politik Melayu mesti punya hikmah. Tahu asas untuk bersama – saat musuh menjolok mata.

32. Kalau hadir GPMS mampu menjadi jambatan hubung, demi suatu kemuncak politik Melayu yang luar biasa – kita sanggup memainkan peranan itu. Jika kehadiran GPMS mampu menjadi jalan tengah bicara dan pertemuan, kita sanggup. Ketepikan ego dan penting diri – kita mesti mengutamakan agama dan bangsa, dalam menerus dan menegakkan perjuangan.

Aspirasi GPMS

33. GPMS wajar menjadi sebuah gerakan yang amanah dan bertanggungjawab. Sebagai mengisi amanah, kita perlu memperkukuh gerakan dalam berhadapan dengan cabaran dan realiti baru. Oleh yang demikian, GPMS ingin menyatakan beberapa teras aspirasi dan wawasan:-

1) Meneruskan agenda pemerkasaan gerakan – memperbanyak program tiusyen dan seminar motivasi. Menggunakan sebaik mungkin jalinan strategik dengan Kementerian, Kerajaan Negeri dan NGO lain yang ada di akar umbi. Agenda teras ini sama sekali tidak boleh diketepikan. Menggesa Cawangan Khas menjadi prime-mover kepada gelombang kebangkitan semangat dan daya saing kalangan pelajar Melayu.

Jika diberikan ruang dan kesempatan, GPMS mahu sama-sama terlibat dalam usaha penubuhan dan menjayakan Yayasan PINTAR seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan. Kita mahukan suatu bentuk gerakan yang satu hati, satu matlamat dalam menjayakan pendidikan di kalangan anak bangsa Melayu;

2) Mendokong agenda Akta Belia yang dikemukakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Benar, akan ada sedikit adjustment dan penyesuaian – tetapi kita percaya, KBS punya alasan dan strategi bernas untuk berbuat demikian. Kita akan mengkaji ruang penyesuaian yang terbaik. Kita mengharapkan Akta Belia mampu complement dan menjadi penyumbang kepada kesiagaan ilmu dan pendidikan anak Melayu. Kita gesa KBS untuk punya agenda Melayu yang menyeluruh!

Dalam mendokong Akta Belia – saya ingin memberikan keyakinan kepada warga GPMS, bahawa kita akan mencari langkah terbaik dalam meneruskan cita dan aspirasi kita. Jangan khuatir, ruang untuk meneruskan gagasan keilmuan bangsa, tidak akan terundur dek kerana usia. Pasti ada wahana dan wadah baru – yang mampu disesuaikan dengan cita kemahuan Akta Belia.

3) Mempertahan Kemurnian Islam, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Perkara-Perkara Asas 153 – dengan sepenuh hati. Dalam keadaan dan suasana getir ini, GPMS mesti bersikap responsif dan terkehadapan dalam memastikan kesucian Islam tidak dirobek, keistimewaan Melayu tidak dicarik. GPMS tidak gentar untuk digelar racist – asalkan fitrah keMelayuan kita tidak cuba ditolak ansur oleh kaum/individu tertentu. GPMS tidak gentar untuk digelar racist – asalkan fitrah keMelayuan kita tidak cuba ditolak ansur oleh kaum/individu tertentu. GPMS tidak gentar untuk digelar racist – asalkan fitrah keMelayuan kita tidak cuba ditolak ansur oleh kaum/individu tertentu.

4) Mengisi Tanggungjawab Sebagai Pemegang Taruh Pendidikan Anak Melayu – GPMS akan menjadi rakan kepada usaha pemerkasaan pendidikan yang dibawa oleh Kementerian Pelajaran. Saya sudah menegaskan berulang kali keperluan GPMS bergerak seiringan dan selari – dengan PIPP yang dipelopori oleh Kementerian Pelajaran.

Dalam konteks isu PPSMI – GPMS akan menggunakan PAT ini sebagai medan mengukur keinginan sebenar warga GPMS. Walaupun GPMS punya asas pandangannya tersendiri – adalah lebih molek dan wajar, kita membenarkan perbahasan menyeluruh dilakukan mengenai isu ini. Secara peribadi, PPSMI mestilah dinilai dalam ruang pandang yang tepat. Mengukur asas kejaguhan Bahasa Melayu dan nilai persaingan masa hadapan.

GPMS amat mengharapkan wujud rasional dan sikap lebih bertanggungjawab di kalangan masyarakat bukan Melayu dalam berhadapan dengan isu sekolah satu sistem. Pandang secara positif. Jangan lihat dari tingkap perkauman. GPMS memuji pandangan berani Prof Tan Sri Khoo Khay Kim dalam berhadapan dengan isu ini. Kita kena jujur dengan masalah dan penyelesaiannya. Fikrah rasional sebeginilah yang lebih wajar wujud untuk membawa Malaysia ke hadapan.

5) Membugar Semangat Bersaing dan Celik Sejarah – di kalangan penuntut pengajian tinggi. Kita berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi tentang keterlibatan GPMS yang lebih aktif dalam usaha ini. Cawangan-cawangan Khas di IPT perlu menjadi catalyst kepada usaha ini. GPMS perlu menjadi penggerak kepada usaha kecemerlangan pendidikan di kalangan siswa-siswi Melayu. Sekadar lulus, menjadi mediocre di tanah air sendiri – samalah dosanya seperti meruntuh bangsa sendiri!

Kita mahu kajian menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan penawaran Subjek MQA – dilakukan secara bersungguh dan jujur oleh IPT Swasta. Jangan buat dan menawarkan subjek MQA secara melepas batuk di tangga.

34. Akhir sekali, Perhimpunan Agung Tahunan hari ini, ingin memohon jasabaik pihak Kerajaan Persekutuan, agar dapat apa kiranya memberikan pengiktirafan kepada sumbangan yang diberikan oleh Allahyarham Aminuddin Baki – antara pengasas GPMS. Kami, generasi GPMS hari ini cukup percaya – Allahyarham adalah antara ikon penting kepada pendidikan Negara. Sayangnya, pemergian beliau belum lagi disusuli dengan pengiktirafan yang sewajarnya.

35. GPMS percaya tidaklah keterlaluan untuk kami mengemukakan saranan dan kemahuan ini. GPMS cukup percaya. Allahyarham Aminuddin Baki punya sumbangan yang sangat besar kepada asas pendidikan di Malaysia. Bukan sahaja komitmen yang luar biasa kepada pemerkasaan dan pemantapan pendidikan di kalangan orang Melayu; malahan ada ketikanya bertindak sebagai ‘educationist – rentas kaum’ dalam memperjuangkan yang terbaik kepada bangsa dan Negara.

36. Di atas alasan dan landasan fikir itu – saya memohon sokongan penuh PAT GPMS hari ini untuk mengemukakan saranan kepada Kerajaan agar Allahyarham Aminuddin Baki diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Bukan sahaja sebagai pejuang dan pengasas GPMS – tetapi lebih daripada itu; sebagai pejuang pendidikan Negara yang sangat luar biasa.

Amanah Bangsa – Pusaka Perjuangan

37. Saya hanya mampu berkongsi bangga jika GPMS berada di kemuncaknya. Selalu saya menginsafkan diri bahawa – pemimpin datang; dan pemimpin pergi. Yang tinggal dan mampu diingati hanyalah legasi perjuangan yang hakiki. Ini adalah sebuah kembara muafakat yang dikongsi semua anak bangsa. Nama, tempat dan jawatan – tidaklah terlalu penting; tetapi citra GPMS-lah yang perlu kita pertahankan sampai bila-bila.

38. Kita berada di sini, kerana kita percaya bahawa pendidikan mampu menjadi ‘manhaj Bangsa’. Jalan dan uslub mengukuh pencapaian dan kembara bangsa bernama – Melayu. Kita jangan terkhilaf dan terkeliru dengan asas perjuangan dan tanggungjawab. Jangan terbawa-bawa dan teruja dengan jawatan; tetapi gagal melaksana amanah.

39. Kita mesti banyak belajar daripada sejarah. Faham dan maklum dengan asal diri. Insaf dan percaya dengan niat memajukan bangsa melalui pendidikan. Setiap daripada kita, setiap insan dan warga GPMS – punya nilai pusaka perjuangan yang bukan kecil.

40. Selalulah bertanyakan pada diri, sudahkah aku mengota janji. Selalu mengingatkan diri, apakah ini yang terbaik buat sebuah perjuangan bernama GPMS. Selalu bermuhasabah diri, bagaimana mengisi amanah perjuangan. Pusaka perjuangan ini adalah amanah bangsa yang cukup besar. Tidak tertanggung beban amanah; tidak terkelek janji dan madah; tidak terjunjung ikrar dan sumpah – kalau kita bergerak sendirian dan selalu gemar bermufarakah. Ayuh rapatkan saf – membulat janji anak negeri; perjuangan GPMS akan terus kita hayati dan perjuangkan. Sekalung ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis dan penggerak GPMS – daripada seluruh pelusuk negeri.

41. Janji kita tidak akan berakhir di sini. Tekad dan hasrat, GPMS perlu kekal 60 tahun lagi. Selagi Melayu kekal sebagai bangsa; GPMS kekal menjadi lidahnya. Selagi Melayu kekal sebagai perjuangan; GPMS gah jadi bahteranya. Selagi minda Melayu mampu bersaing di dunia; GPMS menjadi pemacu asalnya.

Salam Perjuangan untuk seisi dewan – Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Wrt Wbt.

[1] Rujuk kertas kerja Prof Dr Mohammad Redzuan Othman, Era Islam, Seminar Sejarah Nasional Malaysia, anjuran Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Melaka; 27 Nov 2008.
[2] Ibid.
[3] Rujuk kertas kerja, Mohammad Yusoff Hashim, ‘Era Kerajaan Melayu’, Seminar Sejarah Nasional Malaysia, anjuran Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Melaka; 27 Nov 2008

Thursday, October 16, 2008

Pause selepas Puasa

Asm Wrt
Saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat memberi respon yang pantas terhadap perkembangan semasa khususnya persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh mahasiswa dan GPMS.
Buat masa ini saya sedang sibuk mengikuti temuduga di beberapa buah syarikat, minggu final exam selang 2 minggu lagi, dan sibuk menyiapkan assingment yang bertimbun.
InsyaAllah akan kembali aktif selepas 10hb November 2009
terima kasih