Thursday, July 31, 2008

Mahasiswa, Siasah dan Dakwah: AUKU

Oleh: Shamir Aziz, Setiausaha Biro Siswa GPMS Kebangsaan

Penulis menyambut baik langkah Kementerian Pengajian Tinggi meminda ataupun melonggarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Langkah tersebut sebenarnya adalah pengiktirafan kepada mahasiswa/i IPTA tempatan sebagai cohort penting kepada pembangunan negara.

Pada era 70’an, mahasiswa lantang membicarakan persoalan masyarakat, khususnya penindasan yang berlaku terhadap golongan miskin iaitu pak tani, nelayan, penoreh dan lain-lain. Mahasiswa bergerak dengan idealisma sendiri tanpa sebarang political inclination.

Umum sudahpun mengetahui tentang pindaan yang sedang direncana melibatkan hak dan kebebasan bersuara, berpersatuan, dan lain-lain pindaan. Justeru itu, penulis tidak akan menulis pada kerangka yang sama. Persoalan yang hendak dibicarakan lebih menjurus kepada Mahasiswa, Siasah dan Dakwah.

Niche kepada penulisan ini berkisar dalam kerangka Islam sebagai Agama Rasmi; Artikel 3 (1), Kebebasan Beragama; Artikel 11 dan Hak Kerajaan untuk melarang penyebaran agama lain kepada Umat Islam; Artikel 11 (4) sepertimana yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan . Penulis bimbang dalam ketidak seimbangan keadaan geo-politik negara, tindakan semberono meluluskan pindaan tersebut bakal mengundang permasalahan yang rumit di masa hadapan.

Penulis mencadangkan suatu bentuk exception clause dibentuk untuk menghalang kegiatan dakwah secara terbuka oleh Persatuan Keagamaan Agama lain selain Islam didalam kampus tetapi pelajar-pelajar beragama selain Islam dibenarkan untuk menyertai Persatuan Keagamaan Agama masing-masing di luar kampus tertakluk kepada peruntukan Artikel 11.

Justeru itu, penulis memohon agar semua pihak yang berwajib menilai secara konstruktif kebebasan yang diberi tanpa di salah tafsir dan di salah erti. Pihak kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keharmonian di dalam negara andai kebebasan yang diberi disalah guna. Ruang yang diberikan perlu ditarik balik selari dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang Agama, Bangsa dan Budaya.

Sekian.

No comments: